SALAH satu penaja pasukan Terengganu FC (TFC), GLE Centre Enterprise iaitu pengeluar kopi super jantan bersetuju Liga Malaysia (Liga M) musim ini dibatalkan jika sehingga Jun liga tidak dapat disambung kembali berikutan krisis Covid-19.
Pengarah urusannya, Mohd Zulkifli Harun berkata, walaupun syarikatnya berstatus penajaan perak kepada pasukan TFC, tetapi beliau akui turut terkesan daripada segi faktor kewangan, pengiklanan dan pemasaran jika liga disambung terlalu lewat.
Semalam jurulatih berpengalaman, Ismail Zakaria mencadangkan Liga M dibatalkan jika sehingga Jun liga tidak dapat disambung semula berikutan penularan wabak pandemik itu kerana ia memberi kesan kepada pemain, jurulatih, pengurusan dan penaja.
“Sebagai penaja saya berpendapat sekiranya liga tidak dapat diteruskan dalam masa terdekat atau sekurang-sekurangnya sebelum Jun akibat penularan wabak pandemik itu, lebih baik batalkan sahaja Liga M untuk musim ini.
“Ia kerana keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia perlu menjadi keutamaan begitu juga dengan pemain dan pihak pengurusan.
“Jika liga berlangsung dalam keadaan stadium kosong tanpa penyokong sekalipun, ini akan menyebabkan hilang seri dan kemeriahannya.
“Sebagai penaja, sudah tentu kita pun sangat terkesan termasuk tidak dapat mempromosi serta pemasaran kerana mungkin penonton tidak datang ke stadium kerana bimbang penularan wabak pandemik itu, keadaan ini secara tidak langsung perniagaan terpaksa ditutup dan tidak dapat beroperasi seperti biasa.
“Lebih parah kini perniagaan kami terjejas teruk menyusut sehingga 70 peratus kesan daripada tempoh PKP ini.
“Namun sebagai usahawan kita harus mencari alternatif lain seperti pemasaran secara dalam talian di waktu yang genting seperti ini.
“Apapun kita semua harus banyak bersabar dengan krisis yang melanda negara sekarang ini dan kita harus tabah menghadapi ujian ini kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya,” ujarnya yang mula menaja pasukan TFC sejak tiga tahun lalu kerana sebelum ini menaja pasukan T-Team bermula 2013 hingga 2017.