ANGGOTA Jawatankuasa Wimbledon, Tim Henman berkata barisan pemain memahami keputusan untuk membatalkan saingan berprestij itu pada tahun ini susulan pandemik Covid-19.

The All England Club pada mulanya berasakan mereka mempunyai banyak masa untuk memikirkan langkah terbaik selepas pembatalan kejohanan pertama, Indian Wells pada 9 Mac lalu.

Bagaimanapun situasi yang bertambah buruk menyaksikan Wimbledon terpaksa dibatalkan buat kali pertama selepas perang dunia kedua.

“Dengan Wimbledon sepatutnya berlangsung pada Julai, kami berasakan tidak perlu terburu-buru membuat keputusan.

“Bagaimanapun melihat kepada situasi yang semakin teruk, kami berasakan keputusan awal untuk menangguhkan atau membatalkan kejohanan itu adalah pilihan terbaik,” kata Henman.

Henman berkata, setiap barisan pemain memahami dan menyokong keputusan untuk membatalkan edisi Wimbledon kali ini.

“Ia sama kepada pemain lain,” kata Henman merujuk kepada reaksi Andy Murray berhubung pembatalan Wimbledon.

“Mengenai pemain lain seperti Roger Federer yang di penghujung karier pastinya berasa kecewa.

“Saya rasa dia menyatakan kekecewaan tetapi memahami situasi semasa. Ia menjejaskan semua orang di dalam situasi yang berbeza,” katanya.