BINTANG Manchester City, Sergio Aguero percaya majoriti pemain takut kembali beraksi di Liga Perdana angkara pandemik koronavirus.

Laporan menyatakan liga utama England mungkin bersambung kembali seawal Jun selepas digantung pada Mac lalu tetapi Aguero berpendapat kebanyakan pemain bimbangkan kesihatan mereka apabila virus Covid-19 telah membunuh 233,000 nyawa di seluruh dunia.

“Majoriti pemain takut kerana mereka mempunyai keluarga dan anak,” katanya kepada El Chiringuito TV.

“Apabila kami pulang, suasana menjadi tegang, kami akan lebih berhati-hati dan jika ada yang tidak sihat, anda akan fikir apa yang berlaku? Ia menakutkan saya.”

United Kingdom terjejas teruk angkara virus itu dengan 171,000 kes positif dan jumlah kematian mencecah 26,000 orang.

Aguero yang juga pemain antarabangsa Argentina berkata, paling membimbangkan ialah ada pesakit Covid-19 tidak menunjukkan sebarang gejala sebelum itu.

“Saya takut tetapi saya di sini bersama teman wanita dan saya tiada kontak dengan orang lain. Saya berkurung dalam rumah dan orang yang boleh menjangkiti ialah teman wanita saya,”kata Aguero.

“Mereka berkata ada di antara pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala tetapi masih menjangkiti orang lain . Itu sebabnya mengapa saya kekal di rumah.

“Mungkin saya ada penyakit itu dan saya tak menyedarinya.”

City ketinggalan 25 mata di belakang pendahulu Liverpool dalam saingan Liga Perdana dan masih beraksi di Liga Juara-Juara dan Piala FA.