WILLIAMS dan Racing Point menjadi pasukan terkini Formula Satu (F1) mengambil skim pengekalan pekerjaan berikutan pandemik Covid-19 dan pemandu mereka juga bersedia untuk dipotong gaji.

Musim F1 2020 terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik berkenaan dan kedua-dua pasukan itu mengumumkan pemotongan bajet seminggu selepas McLaren melakukan langkah sama.

Nicholas Latifi dan George Russell, bersama ekskutif kanan Williams, melakukan pemotongan gaji sebanyak 20 peratus bermula 1 April, manakala kakitangan lain diberikan cuti sehingga hujung Mei.

Pelumba McLaren, Carlos Sainz Jr dan Lando Norris bersedia dipotong gaji secara sukarela minggu lalu.

“Berikutan situasi yang berlaku sekarang, ROKiT Williams Racing buat sementara waktu mengambil skim pengekalan pekerjaan sebagai langkah untuk pengurangan kos.

“Skim ini akan dijalankan sehingga hujung Mei, manakala pengurusan kanan dan pemandu kami bersedia mengambil pemotongan gaji 20 peratus bermula 1 April.

“Keputusan ini tidak dilakukan dengan mudah, namun tujuan kami adalah untuk menyelamatkan pekerja kami di Grove dan mahu memastikan mereka kembali bekerja seperti biasa apabila situasi mengizinkan,” jelas Williams dalam satu kenyataan.

Pelumba Racing Point, Sergio Perez dan Lance Stroll, juga bersetuju gaji mereka dipotong namun jumlah peratus pemotongan tidak dinyatakan.

“Saya sekarang boleh sahkan sesetengah kakitangan mengambil skim pengekalan pekerjaan, pelumba kami juga secara sukarela bersetuju gaji mereka dipotong,” kata jurucakap Racing Point.