SAINGAN Formula Satu (F1) musim ini berada dalam kedudukan sangat ‘rapuh’ berikutan penularan wabak Covid-19 dan bakal melenyapkan 10 pasukan yang mengambil bahagian kecuali perubahan besar dilakukan, jelas prinsipal McLaren, Zak Brown.

Aksi musim ini belum bermula dengan dua perlumbaan termasuk Grand Prix (GP) Monaco Mei depan dibatalkan dan setakat ini enam saingan ditangguhkan.

Perlumbaan musim ini sudah mengumumkan beberapa perubahan termasuk, menagguhkan perancangan untuk mengubah peraturan teknikal utama dari 2021 hingga 2022 dan semua pasukan juga bersetuju menggunakan jentera sama tahun depan.

“Apa yang saya lihat berdasarkan apa yang berlaku sekarang di seluruh dunia, jika kita tidak menguruskan situasi ini dengan lebih agresif dua pasukan mungkin akan lenyap?

“Malah, saya merasakan ia mampu membawa kepada empat pasukan bakal hilang jika kita tidak mengawal perkara ini dengan baik,” katanya.

Brown berkata, situasi ekonomi dan kesihatan sukar untuk mengharapkan seseorang datang bakal mengambil alih pasukan yang sedang bergelut.

McLaren minggu lalu menjadi pasukan pertama terpaksa mengasingkan beberapa pekerja selama tiga bulan menerusi skim yang ditawarkan kerajaan.

Semua prinsipal pasukan dijangka membincangkan perancangan mengurangkan kos hari ini.

Bajet sebanyak AS$150 juta (RM655 juta) masih lagi mampu untuk ditanggung beberapa pasukan kecil namun Brown menjangkakan ia mungkin akan dikurangkan lagi kepada AS$100 juta (RM437 juta).