MAJLIS Sukan Negeri Terengganu (MSNT) sedia memberi ruang kepada Olimpian negara dalam acara berbasikal, Fatehah Mustapa menjadi jurulatih.

Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu berkata, pengalaman pelumba itu yang pernah beraksi hingga ke pentas dunia begitu bernilai untuk dikongsi dengan barisan pelumba lain terutama atlet muda.

Beliau berkeyakinan jika latihan sistematik berjaya dilaksanakan apatah lagi dengan sentuhan pelumba itu, negara akan dapat melahirkan lebih ramai lagi atlet berbasikal yang mampu menggegarkan pentas dunia.

Malah tidak keterlaluan boleh dikatakan Fatehah ‘kedua’ bakal muncul dalam misi negara untuk melahirkan atlet yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“MSNT sentiasa memberi ruang kepada bekas-bekas atlet dari negeri ini untuk diasuh menjadi jurulatih yang hebat dan berdaya saing dalam sukan masing-masing.

“Seperti Fatehah, pengalaman bertaraf dunianya sangat bernilai untuk diajar kepada pelumba lain terutama atlet pelapis dan muda yang sudah pasti mahukan sentuhan Olimpian itu yang pernah beraksi dalam pentas Olimpik London dan Olimpik Rio.

“Namun atlet berasal dari Kuala Berang itu perlu meningkatkan sijil-sijil kejurulatihannya iaitu sijil spesifik dan juga sijil sains sukan baharulah dia boleh melengkapkan dirinya sebelum menjadi jurulatih berwibawa yang mampu melahirkan atlet berkualiti,” katanya.

Sebelum ini Ibni Amin menyifatkan keputusan pelumba berusia 31 tahun itu yang pernah muncul juara Asia selepas meraih pingat emas dalam acara pecut di New Delhi pada 2003 dan gangsa pada Sukan Komanwel Glasgow, Scotland pada 2014 bersara begitu merugikan kem negara.

Beliau berkata walaupun sudah 17 tahun ratu trek itu bergelar pelumba kebangsaan selain muncul pelumba wanita pertama negara paling menonjol di pentas dunia, namun khidmatnya masih diperlukan terutama dalam menghadapi Sukan Sea, Sukan Asia dan Komanwel 2022.

Minggu lalu, Fatehah nekad mengumumkan persaraan selepas menghantar surat kepada Majlis Sukan Negara (MSN).