PENJAGA gol Felda United FC, Muhaimin Mohamad berniaga mi kari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membantu ibunya, Mahani Abd Manaf di Anak Bukit, Kedah.
Bukan saja mahu mencari pendapatan sampingan, Muhaimin turut berhasrat mempelajari selok-belok perniagaan bagi mengisi masa yang terluang sepanjang Liga Malaysia ditangguhkan ekoran penularan wabak Covid-19.
Justeru, dia tidak segan silu membantu ibu melakukan servis penghantaran makanan kepada pelanggan malah turut mendapat sokongan ramai warga bola sepak termasuk bekas pemain.
Antara yang menjadi pelanggan setia Muhaimin adalah pemenang Fifa Puskas 2016, Faiz Subri, bekas penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Al Hafiz Hamzah dan bekas pemain Kedah, Fauzi Shaari.
“Perniagaan ini sudah lama ibu saya jalankan cuma mungkin kali ini saya baru berkesempatan untuk membantu tambahan sepanjang tempoh PKP, tiada sebarang aktiviti dapat saya buat.
“Niat saya memang mahu belajar berniaga dan banyak pengalaman yang saya dapat raih sepanjang membantu ibu.
“Keunikan mi kari kami adalah adanya tambahan istimewa iaitu sambal kerang yang menjadi faktor penarik kepada pelanggan selain udang,” katanya.
Muhaimin adalah anak kepada penolong jurulatih Kuala Lumpur, Mohamad Ramlee yang juga bekas pemain Kedah pada era 80-an dan 90-an.
Sebelum ini, Muhaimin produk bola sepak Kedah pernah beraksi selaku penjaga gol utama PJ City selama dua musim sebelum berhijrah ke Felda United.
Bagi mendapatkan pengalaman lebih banyak, Muhaimin sudah melakukan persediaan mahu menjalankan perniagaan ayam golek bermula pada hari kedua Ramadan ini.