BERIKANLAH kelonggaran untuk membuat pemotongan gaji dan pada masa sama menyelesaikan tunggakan gaji pemain secara ansuran.

Itu permintaan dua pasukan Melaka dan Kelantan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mempertimbangkan supaya mereka dapat membuat pemotongan gaji pemain berikutan penularan Covid-19.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (Musa), Mohd Ashiq Abd Samad berkata, situasi yang boleh dikatakan agak mencabar ketika ini dengan pasukan berhutang mencecah hampir RM5 juta agak sukar untuk diselesaikan dalam waktu terdekat.

Beliau berkata, Musa mengharapkan ‘ihsan’ FAM untuk membuat pertimbangan berkaitan perkara terbabit dan pada masa sama akan berbincang bersama pemain bagi mendapatkan persetujuan berkaitan pemotongan gaji.

“Kami tidak pernah lupa atau memandang ringan tunggakan gaji membabitkan pemain namun ketika ini ada sedikit masalah kerana bertukarnya tampuk pemerintahan seterusnya mengambil masa untuk menyelesaikan perkara terbabit.

“Pada masa sama saya mengharapkan FAM boleh mempertimbangkan untuk memberi kebenaran kepada kami membuat pemotongan gaji jika mendapat persetujuan daripada pemain,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan hutang mencecah RM10 juta membabitkan keseluruhan tunggakan gaji empat pasukan iaitu Melaka, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang yang gagal diselesaikan pengurusan masing-masing walaupun sebelum ini menabur janji mahu berbuat demikian dengan segera.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) Hussin Deraman memaklumkan tunggakan kira-kira RM4 juta itu adalah hutang lapuk yang mendapat persetujuan pemain untuk diselesaikan secara ansuran.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19