BERLATIH di rumah memang kelihatan bunyinya agak santai dan menenangkan tapi ia tidak seperti yang dijangkakan buat pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia.

Menurut pemain kelahiran Melaka itu, latihan yang dilakukan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sangat memenatkan terutama apabila lebih tertumpu kepada aspek fizikal.

“Sehari kami semua akan berlatih dalam tempoh satu hingga dua jam. Semuanya mengikut program yang ditetapkan oleh jurulatih kecergasan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujar Aaron, apa yang menariknya mereka berlatih dengan menggunakan aplikasi Zoom.

“Kami semua (skuad beregu lelaki) berada dalam alam maya dalam masa yang sama. Walaupun dapat bersua muka tapi saya tetap rindu untuk masuk gelanggang.

“Perkara pertama sekali yang saya akan buat selepas PKP berakhir ialah masuk berlatih di dalam gelanggang,” katanya yang bergandingan bersama Soh Wooi Yik.

Aaron juga mengakui masa terluang di rumah juga banyak dihabiskan dengan melihat semula rakaman perlawanan terdahulu.

“Saya tidak tengok aksi pasangan lain, tapi lebih kepada menonton perlawanan sendiri. Ketika menonton saya akan membayangkan saya berada di dalam gelanggang,” katanya.

Dalam pada itu, Aaron turut mengakui bahawa dia sangat rindu untuk melepak di restoran kegemarannya.

“Kalau hendak diikutkan banyak restoran yang saya tidak sabar untuk pergi menikmati juadah di sana. Saya kurang lepak di restoran mamak.

“Saya lebih gemar mengunjungi restoran makanan Jepun ataupun Korea. Itu memang makanan kegemaran saya,” katanya.