BIARPUN akur dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pemain badminton perseorangan wanita kebangsaan, S Kisona, tetap fokus kepada latihan bagi memastikan tahap kecergasannya kekal baik.
Pemain muda berusia 21 tahun itu berkata, dia melakukan latihan kecergasan setiap hari di rumah keluarganya di Taman Permai di sini.
“Saya perlu menjalani latihan kecergasan setiap hari dengan melakukan larian dalam rumah atau sebarang aktiviti kecergasan untuk memastikan tahap kecergasan fizikal tidak terjejas.
“Disebabkan keadaan yang terbatas, saya hanya berlatih memukul bulu tangkis ke dinding, sebagai suatu pendekatan yang sekurang-kurangnya dapat memastikan skil permainan saya terus kekal baik.
“Kita tidak tahu bila latihan penuh seperti biasa dapat diteruskan semula kerana keadaan wabak koronavirus (Covid-19) ini belum dapat dipastikan, namun sebagai atlet kecergasan adalah penting kerana ia kunci kepada sesuatu persembahan dan kejayaan yang ingin dicapai,” katanya semalam
Kisona berkata, disebabkan Covid-19 ini, dia akur beberapa kejohanan tempatan dan luar negara tidak dapat disertainya selepas kali terakhir beraksi pada Kejohanan Berpasukan Asia di Kompleks Sukan Rizal Memorial Manila, Filipina, pertengahan Februari lalu.
Menurutnya, dalam kejohanan itu skuad badminton wanita negara yang turut disertainya tewas kepada Jepun 0-3, pada peringkat separuh akhir.
Katanya, dia sepatutnya menyertai Terbuka Belanda akhir Mac ini dan diikuti beberapa lagi siri kejohanan antarabangsa di luar negara termasuk di China.
“Bagaimanapun semuanya terpaksa dilupakan kerana wabak Covid-19 ini yang melanda kebanyakan negara di dunia dan kita semua perlu mematuhi arahan pihak berkuasa dalam memastikan rantaian wabak ini dapat disekat,” katanya.
Pemenang pingat emas acara perseorangan wanita di Sukan SEA 2019 Filipina itu berkata, fokus dia ketika ini adalah persiapan menghadapi pusingan akhir Piala Uber 2020 di Denmark, Ogos depan.
Menurut Kisona, dia berharap namanya tidak tercicir dalam senarai skuad berkenaan dan mahu memastikan dapat beraksi cemerlang serta menyumbang mata buat skuad negara pada temasya berprestij itu nanti.
“Fokus saya ketika ini adalah untuk menghadapi Piala Uber 2020 dan saya perlu membuat persiapan dari sekarang ke arah kejohanan itu,” katanya.