KHABIB Nurmagomedov bersedia membuat pusingan U untuk beraksi di UFC 249 dengan melaungkan : “Beri saya lokasi dan 100 peratus saya akan berada di sana.”

Bintang MMA Russia berusia 31 tahun itu, menarik diri daripada pertembungan dengan Tony Ferguson awal minggu ini.

Khabib kini berada di Russia dan dengan sekatan perjalanan di beberapa negara berikutan pandemik Covid-19, dia berasakan tidak dapat memenuhi pertarungan itu.

Tapi Khabib memberitahu ESPN dia mungkin mampu membuatkan acara pada 18 April itu menjadi kenyataan malah sangat mahukan ia dilaksanakan sedaya mungkin dan selamat.

Katanya : “Ketika ini, jika mereka memberikan saya lokasi dan saya akan keluar dari Russia serta dapat segera pergi ke negara lain.

“AS, Abu Dhabi, tak kisahlah. Saya akan bertarung, 100 peratus. Hanya berikan saya lokasinya.

“Setiap hari, saya menghantarkan kiriman pesanan kepada Dana White. ‘Hey, di mana lokasi saya.’ Ini bukan kesilapan saya.

Khabib (tengah) tak gentar bertarung. FOTO File Reuters
Khabib (tengah) tak gentar bertarung. FOTO File Reuters

“Terlalu banyak benda gila, terlalu banyak soalan dan saya tidak mempunyai jawapan.

“Saya faham orang ramai kecewa kerana perlawanan ini, ini adalah seperti pertarungan impian buat peminat. Ini adalah perlawanan impian saya.

“Saya hilang wang, saya rugi banyak wang. Tiada orang kerugian seperti saya. Tiada seorangpun. Saya kehilangan banyak perkara. Saya mahu bertarung.”

Di Instagram, Khabib menambah : “Nama saya Khabib, saya bukan koronavirus.

“Nama saya Khabib, Dana [White] adalah Dana. Tony Ferguson adalah Tony Ferguson.

“Perkara No 1 yang membuatkan saya jadi gila apabila orang berkata saya tarik diri – saya tidak faham kenapa. Saya masih menjalani latihan, sangat gigih sejak Disember.”

Khabib hampir pasti terlepas pertarungan itu selepas dia menjelaskan adalah lebih selamat untuk berada di rumah.

Namun selepas dikritik hebat termasuk daripada pencabarnya Ferguson, Khabib mengubah nada dan mengakui tidak gentar bertemu lawannya itu.