ATLET baling tukul besi negara, Jackie Wong tetap kekal bermotivasi biarpun ‘dikurung’ di Hospital Sibu, Sarawak kerana belum pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19.
Walaupun masih belum mengetahui bilakah akan dibenarkan keluar hospital, Jackie, 27, berkata dia masih menjalani kehidupan seperti biasa di wad hospital.
Masa-masa terluangnya akan diisi dengan latihan kecergasan sekurang-kurangnya sekali sehari untuk memastikan dia kekal cergas.
“Tujuan utama saya melakukan latihan kecergasan bukan untuk hilangkan kebosanan tapi ia adalah untuk memastikan supaya badan tidak jadi lemah dan hilang teknik balingan.
“Saya akan usahakan untuk kekal berlatih sekali sehari dan antara yang dilakukan adalah membuat latihan teknik, tekan tubi dan juga latihan kecergasan,” kata pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 68.22 meter (m).
Pemenang pingat perak Sukan Sea Filipina itu berkata, ketika ini semua berada dalam keadaan terkawal termasuk penyakit asma yang dihadapinya.
Ditanya bilakan ujian seteruskan akan dilakukan, pemenang pingat emas Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 itu berkata, belum ada sebarang makluman diterima daripada pihak hospital berhubung ujian seterusnya.
Untuk rekod Jackie adalah atlet negara pertama disahkan positif Covid-19 selepas dipercayai dijangkiti menerusi bapanya yang turut disahkan positif dan kini menjalani rawatan di hospital sama.
Jackie perlu disahkan negatif dalam dua ujian yang dijalankan secara berturut-turut sebelum dibenarkan keluar dari hospital.