DAVID de Gea menyifatkan hubungan hampir sedekad dia dan Manchester United sebagai satu ‘impian’ serta merancang untuk kekal di Old Trafford bagi tempoh yang panjang.

De Gea, 29, menyertai United dari Atletico Madrid pada 2011 dengan yuran perpindahan dilaporkan £19 juta (RM102.61 juta), yang mencatat rekod perpindahan Britain bagi seorang penjaga gol ketika itu.

Selepas mengharungi permulaan awal musim yang sukar, De Gea membentuk dirinya sebagai salah seorang tonggak kesebelasan utama pasukan dan antara penjaga gawang terbaik dunia.

Perpindahan ke Real Madrid gagal dimeterai pada Ogos 2015, tetapi pemain kelahiran Sepanyol itu menandatangani kontrak baru sebelum menyatakan hasrat untuk terus kekal di United sehingga 2023.

Namun prestasi kurang konsisten De Gea sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang sukar dijangka beberapa pihak, membuatkan timbul cadangan daripada segelintir penyokong yang mahukan United tampil dengan cadangan membenarkan pemain yang dipinjamkan di Sheffield United, Dean Henderson peluang musim hadapan.

Aksi De Gea dalam salah satu perlawanan Liga Perdana Inggeris. FOTO File Agensi
Aksi De Gea dalam salah satu perlawanan Liga Perdana Inggeris. FOTO File Agensi

De Gea bagaimanapun kelihatan tidak bimbang mengenai masa depannya bersama Red Devils.

“Menjadi sebahagian daripada kelab ini adalah amat menakjubkan. Cuba bayangan hampir 10 tahun, ia seperti mimpi,” kata De Gea menerusi United Hangout.

“Ia sangat menakjubkan bermain untuk kelab ini, jadi saya berharap untuk kekal lebih lama, dalam tempoh yang panjang.”

Sebelum saingan bola sepak Eropah ditangguh berikutan pandemik Covid-19, United mengharungi prestasi cemerlang buat pertama kali sejak Ole Gunnar Solskjaer dilantik sebagai pengurus tetap Mac lalu.

Kemenangan 6-0 ke atas Tranmere Rovers pada saingan Piala FA hujung Januari memulakan rekod 11 perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan, termasuk dua kemenangan ke atas Manchester City, kemenangan di tempat lawan ke atas Chelsea serta kemenangan 5-0 dalam saingan Liga Europa ke atas Club Brugge dan LASK.

Kehadiran Bruno Fernandes meningkatkan lagi mutu pasukan dan De Gea mengakui pengaruh yang dibawa pemain tengah Portugal itu, serta menjelaskan United turut memiliki pemain utama seperti Marcus Rashford dan Paul Pogba yang akan kembali pulih daripada kecederaan.

“Saya fikir keseluruhan pasukan telah mula menampakkan peningkatan,” tambah De Gea mengenai United yang ketinggalan tiga mata daripada empat pasukan teratas.

“Kami dalam detik yang baik. Saya fikir kami sangat cemerlang.

“Kami kurang dibolosi, dan Bruno menghadirkan banyak kualiti. Seorang pemain yang bijak, perancang tengah yang bagus, pasukan meningkat dengan kehadirannya dan amat menyedihkan semuanya terhenti kerana kami berada pada prestasi baik.

“Namun diharapkan dengan beberapa pemain yang mengalami kecederaan akan kembali cergas apabila saingan kembali bermula, jadi ia memberi saingan yang sihat kepada semua orang.