PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan tindakan mereka mengarahkan pemain dan pasukan berunding bagi mencapai kata sepakat berkenaan pemotongan gaji bukanlah disebabkan agenda tersembunyi atau mahu menganiaya mana-mana pemain sebaliknya ia adalah demi kelangsungan bola sepak negara.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, keputusan badan induk itu tidak harus disalah tafsirkan kerana kebajikan pemain dan pegawai tetap menjadi keutamaan dalam apa keadaan sekalipun.

“FAM mencadangkan keputusan sukar ini dibuat secara kolektif dalam keadaan realiti industri semasa tanpa mengetepikan kepentingan pemain dan pegawai.

“Kami harap semua termasuk peminat dan media, melihat langkah ini sebagai satu cara melindungi kepentingan semua pihak.

“Harus diingat, FAM bukan sekadar melindungi pemain dan pegawai, bahkan bertanggungjawab memayungi kelab, liga dan pemegang kepentingan lain.

“Hanya dengan industri yang mampan dan berterusan, kita dapat bertahan dalam situasi yang dianggap genting ini,” katanya.

Semalam, FAM memberi tempoh sehingga 22 April ini kepada semua pasukan dan pemain untuk mencapai persetujuan berkenaan pemotongan atau penstrukturan gaji pemain dan pegawai.

Jelas FAM, saranan itu selari dengan arahan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) menerusi Jawatankuasa Khas Covid-19 untuk mencari penyelesaian terbaik susulan krisis kewangan yang melanda kebanyakan kelab ekoran penundaan liga yang disebabkan pandemik Covid-19.

“Dengan keadaan yang tidak menentu ini, keputusan yang FAM ambil adalah bersandarkan kepada kelangsungan liga, kelestarian pasukan atau majikan dan kebajikan pemain serta pegawai dan kepentingan pemegang taruh yang lain.” katanya.