PENYOKONG bola sepak Melaka mahu Liga Malaysia (Liga-M) dibatalkan pada musim ini berikutan pademik Covid-19 yang membimbangkan.
Pengerusi kelab penyokong Demi Melaka United (DMU) Mohamad Odiyas Onan berkata, situasi pencegahan yang kritikal bagi mengelak jangkitan dan gelombang baharu selepas kini sedikit tenang menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) harus diteruskan dengan konsisten untuk memutuskan terus rantai wabak berkenaan.
Katanya, dengan ‘mood’ penyokong juga semakin layu akibat bimbang dengan wabak berkenaan, mendorong mereka juga tidak bermotivasi untuk memberi sokongan seandainya liga di teruskan dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, pendekatan untuk meneruskan liga tanpa penyokong juga bakal menjadikan liga semakin suram dan tidak menarik dalam masa sama kebimbangan tetap wujud dalam kalangan penggiat sukan berkenaan.
“Saya kira jika ianya ditangguhkan selepas semuanya selamat dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi kebenaran berhimpun baharulah Liga M boleh diteruskan.
“Malah, dengan saingan musim ini baru memasuki empat perlawananan setakat ini, adalah lebih baik ianya ditangguhkan pada 2021 yang lebih menyakinkan,”katanya.
Beliau berkata, musim baharu menyaksikan persediaan lebih baik dan selamat serta terhindar daripada wabak berkenaan terutama kepada penyokong mahupun pemain dan pegawai pasukan.
Odiyas berkata, berkaitan isu kontrak sepanjang musim, jika liga ditangguhkan perkara berkenaan perlu dibincang bersama antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), persatuan bola sepak negeri, pemain dan semua yang terbabit termasuk penaja.
Apapun, itu adalah pandangannya, namun jika ianya tetap ingin diteruskan risiko pasti perlu ditanggung terutama membabitkan keselamatan yang tidak mengenal mangsa.
Sebelum ini bekas pemain Olimpik 1980, Ramli Junit menyarankan Liga Malaysia ditangguhkan selepas pandemik Covid-19 melanda negara masih belum berjaya diputuskan sepenuhnya.
Baginya jika PKP bakal ditamatkan selepas 28 April, langkah pemulihan akan mengambil masa panjang yang menyaksikan jalan terbaik adalah melupakan liga Malaysia musim ini.
Katanya, Covid-19 adalah isu lebih besar daripada bola sepak yang membabitkan keselamatan dan nyawa setiap individu tanpa mengenal usia, bangsa dan agama.
Malah, jika liga diteruskan juga tanpa penonton, mampukah untuk mengawal situasi jangkitan terbabit daripada berlaku kepada setiap individu dan penggiat bola sepak, walaupun langkah-langkah khas disusun teliti bagi membendung wabak terbabit.