BAYERN Munich mendenda pemain pertahanan, Jerome Boateng kerana meninggalkan bandar Munich tanpa kebenaran sekali gus mengingkari arahan pengasingan diri yang diperintahkan berikutan penularan Covid-19.

Menurut televisyen TVO, pemain berusia 31 tahun itu meninggalkan bandar berkenaan untuk melawat anak lelaki yang mengalami cedera ringan kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya pada Selasa.

“Pertahanan Bayern, Jerome Boateng meninggalkan Munich semalam tanpa kebenaran dari kelab,” kata juara Jerman itu dalam satu kenyataan.

“Boateng melanggar garis panduan dikeluarkan kelab dengan berada terlalu jauh dari kediamannya.

“Garis panduan ini dalam memastikan kelakuan pemain FC Bayern ketika situasi semasa selaras arahan kerajaan mengenai kawalan pergerakan dan dinasihatkan oleh pihak berkuasa kesihatan.”

Bayern tidak mendedahkan dengan terperinci jumlah denda itu yang turut didermakan kepada hospital tempatan.

“Saya tahu memang menjadi kesalahan kerana tidak memaklumkan kelab mengenai perjalanan saya, tapi ketika itu saya hanya memikirkan mengenai anak lelaki saya,” menurut Boateng kepada akhbar Bild.

“Dia tidak begitu sihat. Jika anak menghubungi bapanya, sudah pasti saya akan pergi, bila-bila masa.”