BEKAS juara dunia dua kali dari Britain, Amir Khan mahu mencabar Manny Pacquiao di Qatar apabila sukan tinju kembali bersambung selepas terhenti akibat krisis koronavirus.
Petinju terkenal itu tidak bertarung sejak kemenangan mudah ke atas Billy Dib di Arab Saudi pada Julai 2019 tetapi sebelum itu dia tewas kepada Terence Crawford apabila menarik diri di pusingan keenam susulan terkena tumbukan rendah kontroversi lawan.
Tetapi Amir percaya dia masih mampu berentap dengan petinju terbaik dunia termasuk bekas rakan sepelatih, Pacquiao yang memegang salah satu gelaran welterweight.
“Saya suka bertinju dan masih berminat meneruskannya. Setiap kali melihat trofi dan pencapaian saya, ia menyemarakkan semangat,” katanya kepada beIN Sports.
“Saya mahu mencapai tahap mampu menentang sesiapa sahaja tanpa gentar dan saya mahu bertarung dengan Manny Pacquiao, dia adalah juara.
“Kenapa tidak Qatar menjadi penganjur, mereka sedang bersiap sedia menjadi tuan rumah Piala Dunia 2020. Saya suka Qatar dan masih terkenang percutian di sana.”
Amir, 33, antara salah seorang petinju yang membantu masyarakat ketika pandemik.
Dia menawarkan penggunaan veneu perkahwinan yang baharu miliknya kepada NHS selain membantu golongan memerlukan di UK dan Pakistan.
“Gembira dapat membantu mereka yang memerlukan sama ada di sini atau di beberapa tempat lain di dunia,” katanya.